Keselamatan dan keterjaminan Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (Singapura)

Keselamatan

Pintu skrin platform di stesen MRT Woodleigh.

Para pengendali dan pihak berkuasa menyatakan bawa pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan keselamatan para pengguna dan pihak SBS Transit telah menguar-uarkan awas keselamatan pada Laluan Timur Laut sebelum dan sesudah pembukaannya.[94][124] Poster kempen keselamatan dapat dilihat dengan jelas di dalam kereta api dan stesen, dan pengendali juga akan menyiarkan pengumuman keselamatan kepada para penumpang dan pelanggan yang menunggu kereta api secara kerap. Piawaian keselamatan kebakaran juga sejajar dengan garis panduan daripada Persatuan Perlindungan Kebakaran Kebangsaan Amerika Syarikat.[27][125]

Terdapat permintaan untuk memasang pintu skrin platform di stesen bertingkat setelah terjadi beberapa insiden di mana penumpang telah terbunuh akibat terjatuh ke dalam landasan kereta api ketika kereta api datang. Stesen–stesen bawah tanah telah dilengkapi dengan ciri sejak 1987 lagi. Pihak berkuasa pada awalnya menolak cadangan tersebut kerana ragu–ragu dengan fungsinya dan kos pemasangan yang tinggi,[126] namun pihak pemerintah kemudiannya mengumumkan rancangan untuk memasang pintu skrin platform separa tinggi di stesen–stesen bertingkat pada Januari 2008,[112] dengan sebab pintu jenis itu mempunyai kos yang lebih rendah.[127] Pintu ini pertama kali dipasang di stesen–stesen Jurong East, Pasir Ris dan Yishun pada 2009 sebagai percubaan untuk menguji kebolehlaksanaannya.[128]

Pintu skrin platform separa tinggi di stesen MRT Pasir Ris.

Pada 14 Mac 2012, kesemua stesen bertingkat telah dipasang dengan pintu dan beroperasi.[129] Pintu–pintu ini dapat mencegah bunuh diri dan capaian tanpa izin ke kawasan terbatas. Dibawah Akta Sistem Transit Laju, perbuatan seperti merokok, makan atau minum di stesen dan dalam kereta api, menyalahgunakan peralatan kecemasan serta menceroboh landasan kereta api adalah dilarang, dengan penalti dari denda hingga hukuman penjara boleh dikenakan.[130][131]

Terdapat beberapa kemalangan besar yang berlaku dalam sejarah MRT. Pada 5 Ogos 1993, dua buah kereta api berlanggar di stesen Clementi disebabkan oleh tumpahan minyak pada landasan yang menyebabkan 132 orang tercedera.[132] Ketika pembinaan Laluan Circle pada 20 April 2004, sebuah terowong yang sedang dibina di bawah Lebuhraya Nicoll runtuh dan empat orang dilaporkan maut dalam kejadian ini.[133]

Kebolehpercayaan pada Laluan Utara Selatan dan Timur Barat serta pengendali SMRT telah dipersoalkan oleh orang awam selepas beberapa siri gangguan khidmat kereta api pada Disember 2011, yang membawa kepada Jawatankuasa Siasatan, lalu menemui kekurangan yang serius dalam rejim penyelenggaraan SMRT Corporation.[134] Sejak itu, laluan MRT telah dibelenggu dengan pelbagai gangguan terutamanya yang dikendalikan oleh syarikat SMRT.

Keterjaminan

Perihal keterjaminan keselamatan yang berkaitan jenayah dan pengganasan belum menjadi keprihatinan yang serius ketika sistem MRT mula dibangunkan.[135] Walau bagaimanapun, selepas kejadian pengeboman kereta api di Madrid pada 2004 dan plot untuk menyerang kedutaan Singapura pada 2001,[136] pihak pengendali mengerahkan pengawal privet tanpa senjata untuk memantau platform stesen dan melakukan pemeriksaan pada barang milik pelanggan terutamanya yang membawa barang besar.[137]

Kamera CCTV yang mengawasi aktiviti di stesen MRT City Hall. Video masa nyata disiarkan dan ditunjukkan di ruang legar stesen.

Pengumuman disiarkan secara kerap untuk mengingatkan penumpang supaya melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tidak meninggalkan barang milik mereka tanpa diawasi. Kamera litar tertutup (CCTV) dengan keupayaan merakam telah dinaik taraf di semua stesen dan kereta api yang dikendalikan oleh SMRT.[138][139] Tong sampah dan peti surat telah dikeluarkan daripada platform stesen dan ruang legar ke pintu masuk stesen, bagi mengurangkan risiko bom ditempatkan di dalamnya.[140] Perbuatan mengambil gambar tanpa izin juga dilarang di semua stesen MRT sejak pengeboman Madrid, tetapi ia tidak dinyatakan secara rasmi dalam mana-mana kajian keselamatan pengangkutan awam.[141]

Pada 14 April 2005, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengumumkan rancangan untuk meningkatkan keterjaminan keselamatan kereta api dengan menubuhkan unit keselamatan khas untuk pengangkutan awam; unit ini kini dikenali sebagai Pasukan Keselamatan Pengangkutan Awam (TransCom).[142] Pegawai ini meronda di kawasan MRT dan LRT seperti di dalam kereta api dan stesen secara rawak bermula pada 15 Ogos 2005.[143] Mereka adalah terlatih dan berkuasa untuk menggunakan senjata api dan kekerasan bila perlu.[144] Pada 8 Januari 2006, satu latihan awam yang melibatkan 2,000 kakitangan daripada 22 agensi pemerintah (kod nama 'Latihan Northstar V'), mensimulasikan serangan bom dan bahan kimia di stesen Dhoby Ghaut, Toa Payoh, Raffles Place dan Marina Bay telah dilakukan. Tiga belas stesen telah ditutup dan kira-kira 3,400 penumpang terkesan ketika latihan selama tiga hingga empat jam itu.[145]

Keprihatinan terhadap keterjaminan keselamatan dibawa oleh orang awam apabila dua insiden perbuatan laku musnah di depot kereta api berlaku dalam tempoh dua tahun.[146] Dalam kedua–dua insiden itu, grafiti pada kereta api ditemui selepas ia mula memasuki perkhidmatan.[147] Insiden pertama, berlaku pada 17 Mei 2010, apabila pagar dipecah masuk di Depot Changi dan seorang warganegara Swiss telah dipenjarakan dan disebat. Kereta api yang terlibat adalah C151 set 047/048.[148][149] Langkah–langkah telah diambil oleh Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Awam untuk meningkatkan keselamatan depot, namun kerja–kerjanya belum diselesaikan oleh SMRT apabila insiden kedua berlaku pada 17 Ogos 2011 di Depot Bishan.[146][147]

Pada 22 November 2012, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menjalankan latihan kerahan turun padang bersama dengan SMRT untuk menguji rancangan pengurusan insiden apabila berlaku gangguan khidmat kereta api. Kira–kira 135 kakitangan termasuklah wakil daripada TransCom Pasukan Polis Singapura dan SBS Transit terlibat dalam latihan ini. Latihan dengan kod nama 'Latihan Greyhound' ini melakukan senario di mana kereta api rosak di stesen Buona Vista pada Laluan Timur Barat. SMRT juga mengaktifkan Rancangan Pengurusan Insiden Kereta Api mereka ketika latihan ini.[150]

Latihan berkod nama 'Latihan Greyhound 2013' telah dijalankan secara bersama di antara LTA dan SBS Transit untuk menentusah tatacara Pusat Kawalan Operasi SBST dan kebolehkerjaan rancangan luar jangkanya. Kira–kira 300 kakitangan termasuklah wakil daripada SMRT, TransCom Pasukan Polis Singapura, Polis Trafik dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyertai latihan ini.[151]

Rujukan

WikiPedia: Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (Singapura) http://www.alstom.com/press-centre/2012/2/alstom-t... http://itunes.apple.com/sg/app/mytransport-singapo... http://news.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Singapor... http://news.asiaone.com/News/The+New+Paper/Story/A... http://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Singapore... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembinaa... http://www.bootsnall.com/articles/11-11/15-of-the-... http://www.channelnewsasia.com/cna/obituaries/ongt... http://www.channelnewsasia.com/news/singapore/down... http://www.channelnewsasia.com/news/singapore/govt...